Omar Ahmad

Kulai: Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) sedia menerima pengunjung dan pendaki di Taman Eko Rimba (TER), Hutan Taman Negeri (HTN) serta Hutan Simpanan Kekal negeri Johor susulan perubahan fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

Pengarahnya, Datuk Salim Aman berkata, terdapat lapan TER, dua HTN dan 15 kawasan eko-pelancongan yang menjadi tarikan utama pengunjung untuk menjalankan aktiviti rekreasi dalam Hutan Simpanan Kekal negeri.

Namun 10 daripadanya masih ditutup bagi proses menaik taraf yang dijangka siap secara berperingkat hujung bulan ini.

Antara yang masih ditutup ialah TER Gunung Pulai 2, TER Sungai Bantang di Labis Segamat, TER Gunung Berlumut di Kluang, TER Panti di Kota Tinggi dan HTN Ayer Hitam Utara di Muar.

Turut ditutup Batu Tenggek di Kota Tinggi, Gunung Belumut, Gunung Gua Rimau, Gunung Chemendung masing-masing di Kluang dan Gunung Banang di Batu Pahat.

"Untuk fasa 3 PPN, kita bersedia menerima kehadiran pengunjung dan pendaki dengan syarat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti lengkap dua dos vaksin serta melepasi tempoh matang, berada dalam keadaan sihat dan menjaga penjarakan fizikal.

"Kemasukan setiap pengunjung juga direkodkan di pintu masuk bagi mengelakkan ia melebihi had pengunjung yang dibenarkan.

"Bagi setiap kawasan di bawah JPNJ, kami menghadkan 50 peratus had pengunjung dari keluasan sedia ada. Tempoh had masa yang dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga jam 5 petang," katanya ketika membuat lawatan fasa tiga PPN di Hutan Lipur Gunung Pulai 1 di sini, tadi.

Menurut Salim, bagi pengunjung yang ingin menjalankan aktiviti pendakian di dalam Hutan Simpanan Kekal Negeri Johor, mereka perlu mendapatkan permit memasuki Hutan Simpanan Kekal.

Katanya permit boleh dimohon dengan hadir ke Pejabat Hutan Daerah terdekat dalam tempoh empat hari sebelum tarikh pendakian.

Pengunjung menikmati aktiviti riadah dan mendaki pada fasa tiga PPN Johor di Gunung Pulai 1, di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Pengunjung menikmati aktiviti riadah dan mendaki pada fasa tiga PPN Johor di Gunung Pulai 1, di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 2:31 PM