FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kebenaran penjualan dan penggunaan kit ujian kendiri Covid-19 membolehkan orang ramai melaksanakan pengesanan virus itu secara sendiri di rumah.

Ini bertepatan langkah kerajaan bagi mengawal penularan wabak terutama apabila lebih banyak kelonggaran diberikan termasuk kemungkinan kebenaran rentas negeri.

Namun, apa yang membimbangkan sekiranya kit ujian itu tidak dilupuskan dengan sempurna akan memberi risiko kepada individu lain seperti pekerja pembersihan.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, syarikat pengeluar kebiasaannya turut menyediakan cara pelupusan bersama kit ujian yang dijual di pasaran.

"Pengguna disarankan memasukkan alat ujian kendiri Covid-19 yang sudah digunakan ke dalam plastik dan diikat dengan sempurna serta dilupuskan ke dalam tong sisa domestik.

"Ini kerana peralatan kit termasuk spesimen air liur yang terkumpul pada alat ujikaji itu bagi

individu dikesan positif, sekiranya tidak dilupuskan dengan berhemah akan membahayakan orang

lain.

"Seeloknya alat itu dimusnahkan melalui cara pembakaran atau menyembur cecair nyah kuman atau klorin seterusnya dimasukkan dalam bungkusan disediakan," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pekerja pembersihan berisiko dijangkiti Covid-19 jika alat ujian kendiri virus itu tidak dilupuskan dengan selamat dan teratur mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kit ujian yang diluluskan secara bersyarat oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) KKM bagi pengesanan antigen yang menyebabkan penyakit Covid-19 dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau swab hidung itu boleh diperoleh di fasiliti awam dan swasta.

Harga asal kit ujian itu ketika diperkenalkan adalah RM39.90 sebelum kerajaan menetapkan harga runcit maksimum pada RM19.90 bagi setiap set, manakala harga borong ditetapkan RM16 satu set, berkuat kuasa 5 September lalu.

Mengenai lambakan kit ujian kendiri yang dijana oleh pihak industri susulan langkah kerajaan mewajibkan pekerja sektor perkilangan menjalani ujian saringan dengan kerap bagi mengawal penularan wabak di tempat kerja, Dr Sharifa Ezat berkata, pihak terbabit disaran menggunakan khidmat syarikat pelupusan sisa klinikal.

Katanya, ia bagi mengelakkan lambakan sisa berkenaan di dalam tong sisa domestik yang boleh mengundang penularan wabak.

"Sebagai contoh 100 pekerja kilang menjalani ujian saringan dan hampir separuh dikesan positif Covid-19, maka berbahaya kepada individu yang terdedah dengan alat ujikaji itu.

"Justeru, pihak kilang perlu melantik syarikat pengurusan sisa klinikal untuk tujuan pelupusan kit ujian terbabit secara selamat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 3:00 PM