ASPEK keselamatan dan kesihatan perlu diberi keutamaan semasa banjir.
ASPEK keselamatan dan kesihatan perlu diberi keutamaan semasa banjir.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MANGSA banjir yang kesejukan kerana terendam lebih lapan jam dalam air banjir berisiko meninggal dunia.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, ini terjadi disebabkan mangsa mengalami hipotermia.

"Ia keadaan apabila suhu badan menurun di bawah suhu normal iaitu 35 darjah Celsius.

"Kesannya boleh menjejaskan pengawalan suhu badan hingga mengalami renjatan dan mengancam nyawa individu terbabit," katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, oleh itu mangsa banjir terutama warga emas dan kanak-kanak perlu segera diselamatkan kerana mereka golongan berisiko.

Selain itu, Dr Sharifa Ezat berkata, perkara lain yang membimbangkan ketika bencana banjir ialah kemungkinan air banjir tercemar kerana bercampur air kumbahan, najis manusia dan najis haiwan.

Jelasnya, kuman dan bakteria daripada air kumbahan juga najis manusia boleh menyebabkan penyakit bawaan air seperti kolera, tifoid, hepatitis A, disentri serta keracunan makanan.

"Mereka yang dijangkiti boleh mengalami gejala seperti cirit-birit, sakit perut, sakit kepala, lesu terlampau, kering mulut dan badan, muntah, loya serta cirit-birit berdarah.

"Keadaan ini sangat berbahaya kepada bayi, kanak-kanak dan warga emas," katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, manakala bakteria leptospira daripada najis tikus yang mencemari air banjir boleh mengakibatkan jangkitan leptospirosis (demam kencing tikus) yang boleh mengancam nyawa.

"Semasa banjir, banyak sampah sarap terapung dan menjadi bertimbun-timbun selepas banjir surut.

"Sampah sarap ini boleh menjadi tempat pembiakan tikus dan mencemarkan kawasan itu dengan najis serta air kencingnya.

"Oleh itu, perlulah ada tempat pelupusan sampah khas untuk membuang sisa makanan. Ini bagi mengelakkan haiwan itu datang berkeliaran di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya mangsa banjir mengalami gejala seperti demam, ruam, sakit kepala, muntah, sakit badan atau sendi, sakit perut dan

jaundis, mereka hendaklah segera mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

Menurutnya, takungan air banjir boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan menyebabkan penularan wabak denggi di kawasan sekitarnya.

"Penyakit ini perlu dielak selain mengelakkan gigitan nyamuk aedes, hendaklah juga memakai baju lengan panjang, kelambu, menggunakan ubat nyamuk dan menjaga kebersihan persekitaran supaya tiada sampah yang boleh menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk," katanya.

Kata Dr Sharifa Ezat, antara langkah keselamatan dan kesihatan yang perlu dilakukan oleh mangsa banjir ialah mendapatkan rehat secukupnya termasuk tidur.

TIMBUNAN sampah boleh menjadi tempat pembiakan tikus dan nyamuk aedes.
TIMBUNAN sampah boleh menjadi tempat pembiakan tikus dan nyamuk aedes.

"Begitu juga dengan makanan, bukan sahaja mencukupi, tetapi juga berkhasiat bagi meningkatkan sistem imun badan.

"Walaupun dalam keadaan yang mencabar (banjir), aspek kebersihan kendiri tetap diutamakan seperti keperluan sabun untuk mencuci tangan atau mandi, tuala wanita mencukupi dan pakaian bersesuaian supaya tidak kesejukan (hipotermia).

"Sentiasa memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan masak air sebelum diminum," katanya.

Ditanya perkara yang sering dianggap remeh oleh mangsa banjir, tetapi sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kepada mereka, beliau berkata, ada kalanya ia membabitkan isu tandas, menahan membuang air kecil dan ketiadaan air bersih untuk mencuci kemaluan.

"Ini boleh meningkatkan kemungkinan jangkitan pada salur dan pundi kencing. Masalah ini terjadi terutama dalam kalangan warga emas dan wanita," katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, mangsa banjir dinasihati mencuci tangan dengan air bersih dan sabun sebelum makan atau menyuap makanan kepada anak.

"Masak air terlebih dahulu sebelum diminum, sekiranya tiada bekalan air bersih yang selamat.

"Pastikan makan makanan yang dimasak sempurna terutama daging, ayam dan makanan laut," katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, untuk wanita hamil, kajian terbaharu juga mengaitkan kesan banjir, perpindahan, kekurangan air dan sanitasi kepada golongan berkenaan.

"Dapatan kajian mendapati, wanita hamil boleh bersalin lebih awal daripada jangkaan akibat tekanan dan hentakan yang berlaku semasa perpindahan.

"Malah jika usia kandungan masih peringkat awal, mereka berisiko mengalami keguguran sekiranya berlaku jangkitan pada rahim dan janin," katanya.

Katanya, terdapat perkara penting perlu diberikan perhatian oleh mangsa banjir atau sukarelawan yang mencuci rumah selepas bencana itu ialah mereka perlu memakai pakaian selamat dan kelengkapan bersesuaian seperti kasut getah.

"Jangan menggunakan selipar kerana seseorang itu boleh terjatuh akibat permukaan licin.

"Kawasan bencana banjir agak berbahaya kerana terdapat banyak objek tajam seperti jarum, skru, paku, serpihan kayu, kaca dan besi, sama ada di dalam atau luar rumah.

"Ini mendedahkan individu kepada luka terbuka dan jangkitan, jika terpijak objek berkenaan sekiranya tidak memakai kasut bersesuaian.

"Jika tercucuk, segeralah mendapatkan rawatan kerana pencemaran bakteria tetanus di lumpur dan tanah, boleh menyebabkan kekejangan, walaupun ia jarang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 7:00 AM