Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Bimbang dikenakan tindakan undang-undang kerana dikatakan mempunyai tunggakan cukai syarikat berjumlah RM58,500.82 menyebabkan seorang jurujual kerugian RM21,000 selepas ditipu dua individu menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 59 tahun itu menerima panggilan telefon kelmarin daripada seorang lelaki dikenali sebagai James David yang mengaku sebagai Pegawai Operasi Cukai LHDN Cyberjaya.

Katanya, lelaki terbabit mendakwa mangsa yang beralamat Kampung Temin, Jerantut tidak membayar cukai perniagaan syarikat miliknya yang dikatakan beroperasi di Kota Bharu, Kelantan selama enam bulan.

"Lelaki itu (James) meminta mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan bercakap dengan Asisten Komisioner Datuk Mohd Nizam bagi menyelesaikan masalah itu.

"James kemudian menyambung panggilan kepada pegawai polis berkenaan yang menyatakan bahawa syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa itu terbabit dengan sindiket penggubalan wang haram dan sindiket dadah.

"Untuk membantu mangsa menyelesaikan kes berkenaan dia perlu membayar sejumlah wang secara dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan dia tidak mahir membuat bayaran secara dalam talian, individu bernama Mohd Nizam mengajar mangsa cara membuat bayaran.

"Mangsa pergi ke kaunter ATM bank di Jerantut dan Mohd Nizam mengajarnya untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan lelaki menyamar itu.

"Mangsa kemudian merasakan dia tertipu sebelum membuat semakan dengan bank semalam. Semakan akaun dilakukan mendapati terdapat transaksi wang RM21,000 daripada akaunnya," katanya.

Menurutnya, mangsa segera membuat laporan di IPD Jerantut semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 11:36 AM