Patung penguin, ayam dan angsa yang dipamerkan.
Patung penguin, ayam dan angsa yang dipamerkan.
Agensi

SEBUAH zoo di utara China terpaksa ditutup selepas menipu pengunjung dengan mempamerkan patung haiwan sebagai penguin sebenar manakala haiwan liar ialah ayam, itik dan kura-kura.

Menurut Daily Mail yang memetik laporan People’s Daily, Zoo Guishan di Yulin, wilayah Guangxi, menganjurkan pameran haiwan liar selama dua hari baru-baru ini, namun hanya mempamerkan patung penguin, kura-kura, ayam dan angsa.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan kerana memperbodohkan orang ramai, terutama pengunjung.

Gambar yang disiarkan portal People's Daily Online selepas pembukaan zoo itu pada 25 November lalu, menunjukkan 10 patung angin penguin, ayam, angsa dan penyu.

Zoo itu juga mempamerkan ‘kolam buaya’ dengan papan tanda menyatakan buaya terbabit bahaya namun kolam berkenaan hanya mempunyai kura-kura bersama patung penguin.

Pengunjung perlu membayar 15 yuan (RM9.16) seorang yang dalam iklan menyatakan zoo berkenaan mempersembahan penguin dari Kutub Selatan serta kura-kura peramal nasib.

Papan tanda di ‘kolam buaya’ memberi amaran buaya bahaya sedangkan ia mengandungi dua kura-kura dan patung penguin. Gambar kanan, kura-kura yang kononnya boleh meramal nasib dan hidup lama.
Papan tanda di ‘kolam buaya’ memberi amaran buaya bahaya sedangkan ia mengandungi dua kura-kura dan patung penguin. Gambar kanan, kura-kura yang kononnya boleh meramal nasib dan hidup lama.

Pemilik zoo itu, seorang wanita, memberitahu media, pameran dua hari itu dianjurkan pihak ketiga dikenali sebagai Mr Wang.

Pemilik itu juga menyatakan rasa terkejutnya dengan patung penguin terbabit yang menurutnya tidak seperti dipersetujui sebelum ini.

Bagaimanapun, wanita itu mendakwa ayam dan angsa terbabit bukan untuk pameran tetapi makanan untuk buaya dalam zoo.

Berikutan komen negatif dan kecaman di internet, zoo terbabit terpaksa ditutup selepas lima hari dibuka.

Pengunjung menuntut bayaran balik namun menurut pemilik itu, dia gagal menghubungi Mr Wang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 8:34 PM