GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis menahan tujuh individu warga asing termasuk dua wanita dipercayai terbabit dengan kegiatan 'Love Scam' dalam serbuan di tiga premis sekitar Puchong, Selangor, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya bersama polis Hong Kong menjalankan Operasi Tiong bagi membanteras kegiatan sindiket Love Scam yang dikesan di sekitar Selangor.

"Serbuan dilakukan di tiga premis sekitar Puchong, semalam, membawa kepada penahanan lima lelaki serta dua wanita warga asing berusia antara 25 hingga 40 tahun.

"Semua suspek berkenaan dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan Love Scam yang menyasarkan individu tempatan dan Hong Kong.

"Dalam serbuan itu, kami merampas beberapa komputer riba, telefon bimbit, router, pasport dan sejumlah kad ATM dari pelbagai bank," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, siasatan dilakukan mendapati ahli sindiket itu memasuki Malaysia sejak tiga tahun lalu menggunakan pas pelajar.

"Melalui pelbagai nama samaran dan akaun palsu di platform Facebook dan Instagram, ahli sindiket ini akan menghantar permohonan untuk menjadi rakam kepada pengguna media sosial di negara sasaran.

"Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata manis dan janji palsu yang ditaburkan kemudian akan diminta untuk memindahkan wang ke dalam akaun bank diberikan.

"Semua suspek ditahan direman sehingga 9 Oktober ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(C) akta sama," katanya.

Beliau menyeru orang ramai supaya sentiasa menitikberatkan aspek pencegahan jenayah merangkumi ilmu pengetahuan, kewaspadaan dan lain-lain dalam usaha mengekang kegiatan jenayah seumpama ini.

"Jangan mudah terpesona dengan gambar profil yang cantik atau tampan digunakan di media sosial serta tidak cepat terpedaya dengan kata-kata manis dan janji mereka.

"Berhati-hati dalam memilih rakan melalui medi sosial terutama kenalan dari luar negara dan jangan mendedahkan nombor akaun bank atau identiti diri serta keluarga kepada individu tidak dikenali atau baru dikenali melalui internet.

"Jangan memberi pinjaman atau memasukkan wang ke dalam akaun individu tidak dikenali sekiranya diminta berbuat demikian oleh kenalan media sosial melalui telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan emel," katanya.

Katanya, pastikan buat semakan terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau memuat turun aplikasi semak mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi.

"Hubungi CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai sebarang maklumat atau keraguan berkaitan jenayah komersial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 5:19 PM