GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Shah Alam: Polis menemukan dua mayat lelaki dipercayai pendatang tanpa izin (Pati) warga Indonesia di Pantai Kelanang dan Pantai Morib, Kuala Langat, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, mayat kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an dan awal 40-an itu ditemukan 6.50 pagi dan 9.30 pagi, dipercayai lemas selepas turun dari bot yang cuba mendarat di Pantai Kelanang.

Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya bertindak susulan maklumat daripada orang awam yang memaklumkan kira-kira 20 individu dipercayai Pati mendarat di Pantai Kelanang.

"Susulan itu, IPD Kuala Langat bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah melalui Op Benteng ke tempat kejadian dan menahan tujuh lelaki dan tujuh wanita dipercayai warga Indonesia yang cuba mendarat di sekitar perkampungan Klanang dan kebun sawit berhampiran Pantai Kelanang.

"Menurut Pati yang ditangkap, mereka memberitahu ketika menghampiri pantai, bot dipukul ombak dan ribut lalu tekong bot meminta mereka turun dan berenang ke pantai," katanya dalam kenyataan.

Jelasnya lagi, mereka dipercayai memasuki perairan Malaysia melalui Tanjung Balai, Indonesia dengan bot tongkang yang dinaiki lebih kurang 40 individu.

Beliau berkata, semua tangkapan dalam lingkungan umur 30-an dan 40-an serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Ahmad Ridhwan berkata, semua pendatang yang ditangkap dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjong Sepat bagi ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke IPD Kuala Langat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, Ahmad Ridhwan berkata, seramai 50 pegawai dan anggota antaranya daripada polis, PGA Briged Tengah serta bomba terbabit dalam operasi mengesan dan menangkap pendatang yang dipercayai masih bersembunyi di kawasan berhampiran, serta mencari dan menyelamat mereka yang mungkin lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 3:00 PM