REAKSI murid tahun satu memulakan sesi pembelajaran di dalam kelas dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). FOTO Aizuddn Saad.
REAKSI murid tahun satu memulakan sesi pembelajaran di dalam kelas dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). FOTO Aizuddn Saad.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Seramai 454,827 murid tahun satu memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bermula hari ini.

Kementerian Pendidikan berkata, kesemua murid berkenaan mendaftar masuk di 6,242 sekolah seluruh negara.

Selain itu, turut mendaftar masuk bagi sesi persekolahan hari ini ialah murid tahun 2 iaitu seramai 448,113 serta prasekolah sebanyak 204,155 murid.

Ini adalah sesi persekolahan pertama secara bersemuka diadakan pada tahun 2021 selepas kerajaan sebelum ini mengarahkan semua sekolah ditutup akibat penularan Covid-19 yang membimbangkan.

Ketika penutupan sekolah, semua pelajar diarahkan untuk belajar melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Kumpulan yang mula bersekolah hari ini adalah murid prasekolah, tahun satu dan dua di sekolah rendah seluruh negara manakala tahun tiga, empat, lima dan enam bermula pada 8 Mac.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata, sesi persekolahan sekolah rendah, kolej vokasional dan sekolah antarabangsa serta institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat yang tidak menawarkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan umum masing-masing akan dibuka pada 1 dan 8 Mac ini.

Radzi Jidin dipetik berkata, kumpulan murid ini Dua perlu hadir ke sekolah lebih awal berbanding yang lain bagi membolehkan mereka membiasakan diri dengan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 11:29 AM