Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Individu yang tidak boleh mengambil suntikan vaksin Covid-19 boleh memohon sijil digital khas atau sijil pengecualian vaksinasi di MySejahtera melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, terlebih dulu individu yang tidak boleh divaksinasi atas faktor perubatan itu perlu mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan berdaftar yang merawatnya.

Beliau berkata, selepas memenuhi syarat dan permohonan lengkap, sijil digital melalui MySejahtera akan diperolehi dalam tempoh seminggu.

"Permohonan boleh dibuat dengan mengemukakan borang khas 'Slip Penilaian Kesesuaian Menerima Vaksin Covid-19 bagi Pesakit dengan Masalah Kesihatan Tertentu' yang disahkan pakar perubatan berikut kepada PKD berhampiran.

"Pakar perubatan berkenaan ialah pakar perubatan di hospital swasta yang merawat individu terbabit; pakar perubatan atau pegawai perubatan merawat (semasa ketiadaan pakar perubatan) di hospital kerajaan berpakar atau Pakar Perubatan Keluarga di klinik kerajaan.

"Pakar perubatan akan menasihatkan pengambilan vaksin dari jenis lain yang bersesuaian. Sebagai contoh, jika seseorang didapati menghidapi alahan kepada vaksin jenis Pfizer, vaksin jenis lain seperti Sinovac boleh diberikan," katanya.

Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy (Warisan-Kota Belud) di Dewan Rakyat hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Isnaraissah Munirah meminta Menteri Kesihatan menjelaskan alternatif tersedia buat individu yang tidak boleh divaksinasi atas faktor berkaitan kemudaratan kesihatan dan pewujudan dokumentasi dikhususkan bagi golongan itu untuk pergerakan fizikal.

Khairy menjelaskan jika individu berkenaan disahkan tidak boleh mengambil sebarang jenis vaksin Covid-19 atas sebab perubatan, dia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih ketat secara kendiri seperti memakai pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan lain-lain.

"Ini disebabkan individu terbabit lebih berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19," katanya.

Menjawab soalan tambahan, Khairy memaklumkan, individu tidak mempunyai peranti digital boleh mempamerkan kad vaksinasi diterima dari pusat pemberian vaksin (PPV) sebagai bukti inokulasi mereka.

"Kalau hilang kad fizikal ini, saya minta mereka tampil ke PKD terdekat untuk membuat laporan dan kita akan teliti prosedur mengeluarkan kad baharu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, data kesan sampingan serius pengambilan vaksin Covid-19 akan dimuat naik di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

"Ia bertujuan membolehkan orang ramai mengakses maklumat tepat dan terperinci mengenai keberkesanan dan kesihatan vaksin Covid-19, selain memupuk keyakinan dalam kalangan individu tegar yang menolak pelalian itu.

"Saya harap akan lebih ramai lagi yang masih tegar untuk tidak mahu terima vaksin akan tampil mendapatkan maklumat terperinci. Kita sentiasa bersedia untuk memberi maklumat kepada sesiapa pun mengenai keberkesanan dan kesihatan vaksin Covid-19," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, semua penduduk di negara ini mempunyai akses kepada vaksin Covid-19, tanpa mengira status imigresen individu terbabit.

"Tiada sesiapa pun penduduk yang hadir ke PPV dinafikan akses vaksin, tidak kiralah ada dokumen atau tidak. Paling utama ketika ini adalah bukan status imigresen, tetapi soal kesihatan awam dan sebab ini kita utamakan vaksinasi untuk semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 1:16 PM