BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang mempertimbang untuk memberikan sijil pengecualian bagi individu yang tidak dapat menerima vaksin Covid-19 disebabkan 'immunocompromised' atau alahan serius.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, pemberian sijil berkenaan adalah bagi menggantikan sijil vaksin digital yang akan diberikan kepada semua penerima vaksin dos kedua kelak.

"Atas prinsip keadilan bagi mereka yang tidak boleh menerima vaksin, kita sedang fikir bagaimana kita boleh beri satu sijil pengecualian yang mereka ini tidak dapat diberi vaksin dan bukan kerana mereka memilih untuk tidak diberikan vaksin. Saya rasa kita perlu bersikap adil," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Vaksinasi Covid-19 Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, hari ini.

Menurut Khairy, kerajaan masih memperhalusi isu pasport vaksin dan memberikan sijil digital vaksin melalui aplikasi MySejahtera kepada individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Beliau berkata, melalui sistem berkenaan, ia akan memberikan maklumat kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) serta negara lain supaya dapat pengiktirafan dan boleh digunakan sebagai bukti bahawa rakyat Malaysia telah mendapatkan vaksinasi.

Khairy berswafoto dengan seorang penderma darah di Pusat Tabung Darah HUS, Kuching ketika lawatan kerja ke hospital itu hari ini. Foto Bernama
Khairy berswafoto dengan seorang penderma darah di Pusat Tabung Darah HUS, Kuching ketika lawatan kerja ke hospital itu hari ini. Foto Bernama

Sementara itu, Khairy berkata, kerajaan sedang merangka strategi bagi golongan gelandangan, pelarian dan migran tanpa dokumen untuk terbabit dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Katanya, satu mesyuarat akan diadakan bersama agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu ini bagi membincangkan kaedah terbaik untuk golongan terbabit.

"Mungkin saya juga akan ada mesyuarat koordinasi dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk golongan gelandangan," katanya.

Mengenai perkembangan vaksin Sinovac, Khairy berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan ujian stabiliti terhadap vaksin keluaran China itu yang dijangka mengambil tempoh sebulan.

"Kita hendak melihat tiada kecacatan kepada vaksin apabila dibotolkan di sini. Sekiranya persetujuan diberikan, kita dapat mengeluarkan vaksin pada bulan depan," katanya.

Malaysia menerima vaksin Covid-19 keluaran Sinovac dalam bentuk cecair untuk dibotolkan di negara ini pada 27 Februari lalu.

Mengulas mengenai vaksin palsu yang dijual dalam talian, Khairy meminta semua pihak untuk melaporkan kepada KKM untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, satu iklan palsu jualan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech secara dalam talian tular di media sosial baru-baru ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 5:58 PM