DR Anuar Shah.
DR Anuar Shah.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Gaji minimum bulanan semasa negara iaitu RM1,200 (AS$283) boleh disemak semula dan diberi fokus dalam Belanjawan 2022.

Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, peningkatan gaji minimum dalam konteks pekerja tempatan dan asing perlu diteliti dengan cermat kerana memberi impak sangat besar terhadap pendapatan golongan berkenaan.

Katanya, gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan tidak mencukupi bagi menampung keperluan pekerja tempatan yang menanggung pelbagai kos.

"Bagi pekerja asing pula, mereka mampu menyimpan sehingga RM1,000 sebulan kerana disediakan pelbagai kemudahan oleh majikan.

"Pekerja tempatan yang bergaji RM1,200 perlu membayar pelbagai pinjaman, kos perjalanan, kos sewa rumah termasuk kos utiliti yang menyebabkan sebahagian besar gaji digunakan untuk tujuan ini dan akhirnya baki gaji selepas ditolak komitmen berkenaan berkemungkinan hanya mampu bertahan sehingga pertengahan bulan sahaja.

"Tetapi, pekerja asing tidak menanggung sebarang pinjaman, malah segala kemudahan seperti tempat tinggal dan kenderaan disediakan oleh majikan.

"Sebahagian daripada mereka juga hanya membelanjakan kira-kira RM100 hingga RM200 sahaja sebulan bagi keperluan makanan," katanya.

Menurutnya, gaji minimum kali terakhir disemak pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebenarnya masih terdapat ruang untuk kenaikan gaji minimum dari semasa ke semasa, namun kerajaan perlu menetapkan sasarannya dalam jangka masa pendek, pertengahan dan jangka panjang.

Sementara itu, Dr Anuar berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan Biasiswa Pengajian Siswazah untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan dan mengoptimumkan potensi graduan ke peringkat pengajian lebih tinggi.

"Ia membantu dan menggalak graduan yang sebahagiannya belum memperoleh pekerjaan untuk melanjutkan pengajian di peringkat siswazah.

"Apabila ekonomi pulih sepenuhnya pada tahun mendatang, graduan kita sudah mempunyai kelulusan yang lebih tinggi dan akan membantu mereka memperolehi peluang pekerjaan lebih baik.

"Selain itu, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk perkenalkan inisiatif simpanan secara tabungan dengan memberikan dividen kompetitif supaya menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menabung," katanya.

"Ini kerana sekiranya berlaku krisis pada masa akan datang, simpanan pada waktu krisis dan kecemasan amat diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 7:02 AM