LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lelaki yang memandu kereta secara cuai dan melanggar sekatan jalan raya (SJR) sehingga menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya dalam keadaan bogel dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan denda RM37,000 di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini, hari ini.

Tertuduh, Chew Chong Teck, 45, turut berdepan hukuman penjara 21 bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Selain itu, semua kesalahan tertuduh akan dicatat di dalam semua kelas lesen memandunya.

Keputusan itu dibuat selepas tertuduh mengaku salah terhadap empat pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood dan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu kenderaan jenis Honda City di atas jalan raya dengan melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang merbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kemalangan di Jalan Kuala Berang (lampu isyarat Kubang Parit) di sini, jam 12.15 tengah hari pada 15 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, Noor Mazrinie menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh yang berdepan tiga pertuduhan sama turut didakwa melakukan sama di lokasi berasingan sekitar daerah ini antara jam 12.06 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 15 Julai lalu.

Bagi setiap kesalahan itu, Nordiana menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan denda RM9,000 atau lima bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan kesemua hukuman berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 19 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Chia Bih Huah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nurul Najmi Md Nasir.

Media sebelum ini melaporkan polis mengambil mangsa lebih sejam mengejar kereta dipandu lelaki yang memandu dalam keadaan bogel sebelum ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Batu 18 di Kuala Berang.

Lelaki terbabit melarikan diri selepas melanggar SJR Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Bukit Jong dan ketika malarikan diri, dia turut melanggar 12 lampu isyarat, tiga SJR PKP dan tiga kenderaan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 10:39 PM