CHEW Chong Teck dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
CHEW Chong Teck dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, mengarahkan lelaki yang memandu kereta secara cuai dan melanggar sekatan jalan raya (SJR) sehingga menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya dalam keadaan bogel dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru, Johor untuk menjalani rawatan psikiatri.

Terdahulu, tertuduh, Chew Chong Teck, 45, dari Marang mengangguk faham selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa tidak mematuhi arahan pegawai polis yang memintanya menghentikan kenderaan di SJR Bukit Jong, Kuala Nerus, jam 11.30 pagi pada 15 Julai lalu.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan khianat terhadap papan tanda, kon dan payung milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) berdepan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa memandu secara gopoh di jalan awam sehingga membahayakan nyawa manusia di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 279 KK berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru, Johor bagi mendapatkan pemeriksaan mental dan menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nurul Najmi Adila Md Nasir

Media sebelum ini melaporkan polis mengambil masa lebih sejam mengejar kereta dipandu lelaki yang memandu dalam keadaan berbogel sebelum ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Batu 18 di Kuala Berang.

Lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental melarikan diri selepas melanggar SJR Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Bukit Jong dan ketika melarikan diri, dia yang memandu kereta Honda City itu turut melanggar 12 lampu isyarat, tiga SJR PKP dan tiga kenderaan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 5:26 PM