Anggota polis dan tentera melihat dokumen rentas negeri di sekatan jalan  raya (SJR) di KM79 Jalan Persekutuan Kuala Lumpur - Ipoh berhampiran UPSI, sempadan antara negeri Selangor dan Perak. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Anggota polis dan tentera melihat dokumen rentas negeri di sekatan jalan raya (SJR) di KM79 Jalan Persekutuan Kuala Lumpur - Ipoh berhampiran UPSI, sempadan antara negeri Selangor dan Perak. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia menasihatkan pelajar, ibu bapa dan guru yang ingin merentas negeri bagi tujuan pendidikan dan kemasukan ke asrama menyediakan surat pengesahan untuk dikemukakan kepada petugas sekatan jalan raya.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Hazani Ghazali berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengemaskini prosedur operasi standard berkaitan pergerakan harian ke sekolah, institusi pendidikan dan kemasukan pelajar ke asrama yang membabitkan pergerakan rentas negeri.

Menurutnya, murid dan pelajar terbabit (sekolah harian) dibenarkan merentasi negeri setiap hari dengan menggunakan surat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau sekolah dan institusi pendidikan.

"Pergerakan pergi dan balik ke sekolah dan institusi pendidikan bagi murid dan pelajar yang terbabit boleh ditemani oleh seorang penjaga.

"Pergerakan guru atau tenaga pengajar ke sekolah dan institusi pendidikan untuk merentas negeri bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran dibenarkan dengan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah dan institusi pendidikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hazani berkata, kawalan pergerakan murid dan pelajar kembali ke asrama adalah dibenarkan dengan menggunakan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah dan institusi pendidikan untuk tujuan merentas negeri.

"Jumlah di dalam kenderaan bagi tujuan pergerakan ini adalah berdasarkan kepada kapasiti kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 6:52 PM