DADAH dan air ketum yang dirampas dalam serbuan sebuah rumah di Kampung Gual Sitok, di sini. FOTO Ihsan PGA7
DADAH dan air ketum yang dirampas dalam serbuan sebuah rumah di Kampung Gual Sitok, di sini. FOTO Ihsan PGA7
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Dua lelaki termasuk seorang remaja ditahan dipercayai memiliki pil kuda dan air ketum dalam serbuan sebuah rumah di Kampung Gual Sitok, di sini, awal pagi hari ini.

Kedua-dua lelaki masing-masing berusia 16 dan 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dalam serbuan jam 1 pagi.

Turut dirampas 70 biji pil kuda dan empat botol air ketum dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM740.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata, ketika serbuan, kedua-dua suspek berada di bahagian dapur yang mana terdapat air ketum yang diletakkan di lantai.

"Pemeriksaan lanjut menemui pil kuda yang diisi di dalam tiub plastik berwarna merah jambu di bawah sebuah rumah berdekatan kediaman yang diserbu.

"Kedua-dua suspek ditahan dan barangan dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Sekyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 30(3) Akta Racun 1952," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini

Azhari berkata, tangkapan remaja seawal usia 16 tahun itu, antara yang termuda pernah ditahan pihaknya membabitkan penyalahgunaan dadah, selain menganggap ia sebagai suatu kes yang serius.

Katanya, remaja itu juga positif dadah jenis methamphetamine.

"Kawasan sempadan sememangnya menjadi tumpuan kes penyeludupan dadah yang berkemungkinan besar menjadi faktor pendedahan anak remaja dengan najis dadah.

"Keluarga khususnya ibu bapa sewajarnya memainkan peranan dalam memastikan anak-anak tidak terjebak dengan kancah dadah yang semestinya merosakkan masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 12:41 PM