GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Nor Hidayatidayu Razali


POLIS menahan lelaki berusia 43 tahun dan 227 biji pil kuda dalam serbuan di rumah di Kampung Kubang Keroh Banggol Chica, Pasir Mas pada 6.30 pagi, hari ini.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, serbuan sempena Op Wawasan dibuat hasil maklumat dan pemantauan awam.

Katanya, dadah dirampas bernilai RM2,691 dan pihaknya turut menemui wang tunai RM421 disyaki hasil pengedaran dadah.

“Soal siasat terhadap lelaki itu membawa polis ke kawasan belakang rumah dan menemui satu bungkusan plastik lutsinar yang disorokkan di dalam semak.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui satu bungkusan plastik warna biru yang mana di dalamnya mengandungi 227 pil kuda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 2:20 PM