Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kertas siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membabitkan pencemaran di Sungai Gong, Selangor yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor terpaksa ditutup, 3 September lalu sudah diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kertas siasatan itu diserahkan kepada Peguam Negara, minggu lalu lagi.

Pada masa sama, beliau berkata, peruntukan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, juga membolehkan pengurusan tertinggi syarikat mencemar diseret ke muka keadilan.

"Merujuk kepada Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, selain daripada syarikat yang dituduh, Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurus atau lain-lain pegawai yang seumpamanya boleh juga dituduh atas kesalahan yang dilakukan bawah Akta ini.

"Perkara ini telah dan sedang dilaksanakan dalam kes jenayah alam sekitar yang dipertuduhkan di mahkamah. Kertas siasatan oleh JAS dan SPAN telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara," katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Khamis bersama anaknya membantu proses menanam kerbau ternakannya yang mati mengejut di Kampung Banggol Katong, Serada, Terengganu. FOTO NSTP
Khamis bersama anaknya membantu proses menanam kerbau ternakannya yang mati mengejut di Kampung Banggol Katong, Serada, Terengganu. FOTO NSTP

Awal bulan ini, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang membabitkan 1.2 juta pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air di Sungai Gong.

Ia ekoran pencemaran minyak dari sebuah kilang mengakibatkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Susulan kejadian itu, enam orang termasuk empat pengurus kilang dan dua pekerja turut direman bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akan membentangkan pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pada Sidang Dewan Rakyat selepas ini.

Katanya, pada mulanya, semakan terhadap undang-undang berkenaan mahu dibentangkan pada sesi sebelum ini tetapi ada sedikit kekangan menyebabkan pihaknya akan membawanya pada sesi akan datang.

"Antara perkara yang akan dilihat termasuk isu kompaun dan jumlahnya selain tindakan yang lebih tegas termasuk penggantungan operasi kilang dan peruntukan untuk memastikan pengurusan serta kos sungai yang tercemar ditanggung kilang terbabit," katanya.

Ditanya adakah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan menggunakan peruntukan undang-undang bawah Kanun Keseksaan, Tuan Ibrahim berkata ia bergantung kepada kes sama ada bawah kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau kementerian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 4:41 PM