PIHAK Perhilitan merampas pelbagai spesis burung dilindungi dari sebuah rumah di Segamat,  Johor.
PIHAK Perhilitan merampas pelbagai spesis burung dilindungi dari sebuah rumah di Segamat, Johor.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Kicauan bingit burung tanpa henti jelas mengganggu kejiranan sekaligus menimbulkan sangsi apabila berpuluh burung dibela di dalam ruang tamu, dapur dan bilik kediaman.

Itu antara tindakan segelintir individu dan ahli sindiket penyeludupan burung yang dikesan menjadikan rumah sebagai `stor' menyorokkan berpuluh ekor spesis burung dilindungi.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tindakan membela dan menyimpan burung dilindungi secara haram itu dibongkar hasil operasi bersepadu dilakukan anggotanya di beberapa lokasi dikenal pasti.

Dalam serbuan pertama jam 2.15 petang semalam, seramai 15 anggota Perhilitan dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) dan kakitangan Jabatan Perhutanan menyerbu sebuah kediaman di Segamat, Johor.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menemui beberapa sangkar burung di simpan dalam kediaman itu.

"Di dalamnya berisi burung Bayan Puling, burung Murai Batu, burung Serindit, burung Kelicap Kunyit selain seekot ayam hutan," katanya.

Menurutnya seorang wanita tempatan berusia 30-an yang juga penghuni rumah itu ditahan untuk soal siasat.

"Wanita itu gagal menunjukkan sebarang dokumen sah untuk menyimpan hidupan liar itu. Susulan itu semua burung berkenaan dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya.

Beliau berkata, serbuan sama turut dilakukan di sebuah lagi rumah di Segamat, Johor, kira-kira sejam kemudian.

"Hasil serbuan kedua itu, pihak kami merampas dua ekor burung Bayan Puling, burung Bayan Nuri (2 ekor), Burung Murai Batu (seekor), burung Kelicap Kunyit (seekor), burung Merbah Luris Leher (seekor), burung Serindit (seekor) dan Burung Punai Jambu (seekor).

"Seorang lelaki tempatan berusia 60-an ditahan untuk soal siasat selepas suspek turut gagal mengemukakan dokumen sah menyimpan hidupan liar berkenaan," katanya.

Kadir berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan semua burung itu turut dijual atau mahu diseludup ke luar negara.

"Biasanya sindiket akan mengumpulkan dahulu burung ditangkap pemburu haram sebelum diseludup ke negara jiran Indonesia menggunakan jalan laut.

'Permintaan dan harga tinggi ditawarkan terhadap pelbagai spesis burung Malaysia antara punca aktiviti penyeludupan ini terus berlaku sehingga kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 10:30 AM