Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO Bernama
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO Bernama
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Jika ada yang melemparkan cemuhan mengatakan Malaysia 'gagal' kerana peningkatan kes jangkitan, maka hal sama boleh diperkatakan terhadap kebanyakan negara dunia yang bergelut gelombang Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peningkatan kadar jangkitan bukan hanya di Malaysia sebaliknya banyak negara seluruh dunia berdepan situasi sama.

"United Kingdom (UK) dengan 67 juta penduduk, menyaksikan kadar jangkitan harian meningkat kepada lebih 50,000 kes. Belanda dengan populasi hanya 17 juta pula, mencatatkan lebih 11,000 kes sehari.

"Tetapi dengan pendekatan agresif negara menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Malaysia mampu untuk mencapai imuniti kelompok lebih pantas.

"Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, negara menyasarkan 100 peratus vaksinasi penduduk dewasa pada Oktober depan, bukan lagi Disember seperti disasarkan sebelum ini," katanya dalam sesi pembentangan laporan Laksana ke-62 di Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bergantung kepada pendekatan 'keseluruhan negara' kerana tiada kerajaan di dunia mampu melakukannya sendiri.

"Semua pihak sama ada kerajaan pusat, negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor swasta, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan seluruh lapisan rakyat perlu memainkan peranan memastikan negara bergerak ke arah pemulihan," katanya.

Katanya, dalam hal berkaitan usaha vaksinasi, Labuan menjadi contoh yang baik selepas sebelum ini dilabel sebagai zon merah dengan kadar R-Naught melangkaui 2.4 - lebih tinggi daripada paras kebangsaan.

"Labuan kini melonjak di kaca mata nasional kerana telah berjaya mengurangkan kes jangkitan dan kini mencatatkan kadar R-Naught 0.77.

"Program imunisasi adalah kunci kepada kejayaan Labuan. Sehingga kini, lebih 90 peratus penduduk Labuan telah divaksinasi dan hampir 65 peratus telah menerima dos kedua.

"Wilayah ini diangkat sebagai contoh gandingan bersepadu dan mantap antara kerajaan pusat dan PBT di dalam pelaksanaan PPN. Majlis Perwakilan Penduduk dan ketua-ketua kampung juga menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan program penvaksinan dapat dilaksanakan dengan lancar melalui inisiatif Privo atau Prihatin Volunteers dalam kalangan penduduk dan belia kampung untuk mencari dan memastikan warga kampung keluar untuk divaksinasi," katanya.

Tengku Zafrul berkata, berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, individu yang melengkapkan vaksinasi boleh dijangkiti Covid-19, namun kemungkinan untuk mereka menjangkiti individu lain adalah rendah.

"Kebanyakan mereka juga tidak menunjukkan gejala Covid-19 atau hanya mengalami gejala ringan. Jika dilihat dari statistik kes harian seluruh Malaysia dalam tempoh tujuh hari, 98 hingga 99 peratus kes adalah kategori 1 dan 2, iaitu sama ada tidak bergejala atau hanya bergejala ringan.

"Di Malaysia secara keseluruhannya, selaras dengan peningkatan kadar vaksinasi, kita juga dapat melihat pengurangan kes serius dari Kategori 4 dan 5 serta penurunan hospitalisasi yang membabitkan warga emas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 5:03 PM