GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menunjukkan perkembangan awal positif dengan penurunan bilangan kes kategori tiga hingga lima di enam negeri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan liputan dos lengkap vaksin Covid-19 bagi populasi dewasa 18 tahun dan ke atas di negeri-negeri tersebut iaitu Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya melebihi 40 peratus.

"Semalam buat pertama kalinya, tidak ada kes jangkitan baharu Covid-19 yang dilaporkan di Labuan.

"Data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) bagi hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang juga menurun.

Pada 31 Julai, purata sehari pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah 909 orang dan jumlah itu menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos hasil perancangan rapi kerajaan dan pelaksanaan strategi oleh KKM serta kesan vaksinasi.

Muhyiddin berkata, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Jumaat lalu turut memaklumkan bahawa Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang sejak 26 Julai lepas menyaksikan kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur mula menunjukkan penurunan.

Menurut beliau, kerajaan melalui Greater Klang Valley Special Task Force (GKVSTF) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) sememangnya sedang bertungkus-lumus untuk meredakan situasi di Lembah Klang.

Perdana Menteri berkata, beliau berharap trend penurunan itu dapat diteruskan untuk mengurangkan beban kes Covid-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU) yang memerlukan rawatan lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa.

"Oleh itu, segeralah mendaftar untuk dapatkan vaksinasi, termasuk bagi ibu hamil dan remaja dalam kumpulan umur yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksinasi.

"Majikan juga perlu mainkan peranan untuk memastikan pekerja mereka termasuk pekerja asing mendapat vaksinasi," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 12:36 PM