Ahmad Hasbi


Nilai: Selepas masalah tapak perkuburan di Bandar Tasek Senangin, Lenggeng dan tapak pembinaan masjid di Taman Indah Baru, Tampin diselesaikan, satu lagi isu hangat diperkatakan mengenai tapak surau di Taman Desa Melati, di sini.

Ada pihak mendakwa wujudnya usaha untuk mengambil tanah yang diwartakan untuk kegunaan orang bagi tujuan lain selepas kerajaan negeri membatalkan pewartaannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai J Arul Kumar berkata, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Seremban sudah mewartakan tanah seluas 3,565 meter persegi di kawasan berkenaan sebagai tapak surau pada 2017.

"Bagaimanapun, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) membuat permohonan tapak tanah baru pada 2019 dan kelulusan diberi beberapa bulan selepas itu kerana beranggapan tapak tanah yang diwartakan agak tinggi dan tidak sesuai untuk pembinaan surau.

"Namun, apabila PDT Seremban membuat semakan semula dan mendapati tanah berkenaan adalah hak milik sebuah syarikat yang didaftarkan pada 17 April 2000.

"Justeru, PDT Seremban terpaksa membatalkan kelulusan yang dibuat JHEAINS," katanya ketika melawat lokasi hari ini.

Menurutnya, pembatalan itu bukan bermaksud kerajaan negeri menghalang pembinaan surau di kawasan itu yang 50 peratus daripada penduduknya beragama Islam, namun ia berlaku kerana kesilapan yang dilakukan PDT ketika itu.

J Arul Kumar ketika ditemui selepas melawat tapak tanah surau Taman Desa Melati. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
J Arul Kumar ketika ditemui selepas melawat tapak tanah surau Taman Desa Melati. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

"Saya sudah berjumpa dengan penduduk Islam di taman ini dan mereka tiada masalah jika surau dibina di tapak tanah sedia ada.

"Sebagai Adun, saya juga minta kerajaan negeri membantu pembinaan surau di lokasi berkenaan memandangkan sejak kawasan perumahan ini dibuka, masih belum ada sebuah surau yang dibina," katanya.

Beliau yang juga Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan berkata, apa yang dikesalkan apabila tindakan pembatalan itu dijadikan isu oleh pihak tertentu yang memberi gambaran seperti kerajaan negeri menghalang pembinaan rumah ibadat orang Islam.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara itu tidak terus dijadikan isu perkauman dan dipanjangkan kerana ia hanya disebabkan berlaku kesilapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 1:16 PM