Ahmad Hasbi

Nilai: Penduduk di Bandar Tasek Senangin di Lenggeng, di sini, resah, apabila tanah seluas 10.5 hektar yang diwartakan sebagai tanah perkuburan orang Islam cuba diambil alih pihak tertentu.

Wakil penduduk, Mustaqim Mustaza, 40, berkata, pihaknya mendapat maklumat ada usaha untuk mengambil sebahagian daripada tanah berkenaan untuk dijadikan tanah perkuburan bukan Islam.

"Seramai 666 penduduk di sini, membantah pengambilalihan 0.8 hektar daripada tanah yang sudah diwartakan untuk tujuan pengebumian orang Islam.

"Alasan yang diberikan adalah kerana tanah berkenaan luas. Kami berharap tanah ini tidak diganggu. Pihak berkenaan boleh mencari tanah di kawasan lain," katanya tadi.

Mustaqim berkata, pihaknya tidak berniat untuk menimbulkan sentimen perkauman dan faham situasi hidup dalam negara yang berbilang kaum.

ZOOL Amali Hussein (kanan) bersama wakil penduduk meninjau tapak tanah perkuburan sebagai bantahan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ZOOL Amali Hussein (kanan) bersama wakil penduduk meninjau tapak tanah perkuburan sebagai bantahan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Tambahnya, terdapat lebih 1,000 rumah di kawasan perumahan berkenaan yang mana 95 peratusnya daripadanya adalah beragama Islam.

Mustaqim berkata, satu memorandum bantahan dihantar kepada Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J Arul Kumar serta turut dipanjangkan kepada Menteri Besar dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), semalam.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussein berkata, ketidakpuasan hati penduduk bukan untuk mewujudkan kebencian kaum tetapi mahu pihak kerajaan lebih sensitif.

"Saya turut serta dalam bantahan ini bukan atas tiket parti politik tetapi sebagai orang Islam dan sebagai penduduk Lenggeng.

"Tanah ini diwartakan sebagai tanah perkuburan orang Islam dan perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana isu seumpama ini boleh mengundang perbalahan antara kaum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 6:18 PM