Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah giat melakukan kerja penyelenggaraan dan baikpulih sistem perparitan dan longkang sejak tahun lalu bagi mengelak berlakunya banjir teruk.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kerja pembaikan itu dilakukan secara berperingkat dalam usaha menangani masalah itu.

"Dalam kerja pembaikan ini sebenarnya sudah bermula sejak daripada tahun lalu lagi secara perlahan-lahan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Light Art in the City Ipoh yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi di Medan Selera Dato Tahwil Azar di sini, malam tadi.

Rumaizi berkata, gerak kerja awal yang sudah dilakukan itu sedikit sebanyak mengurangkan impak banjir.

"Ada juga kesan apabila kita buat pembaikan awal itu. Memang ada banjir kilat tetapi ia tidak seteruk seperti yang diramalkan," katanya ketika mengulas kejadian banjir kilat di beberapa lokasi sekitar Ipoh, baru-baru ini.

"Bagaimanapun kita akan mengambil tindakan seperti yang dimaklumkan Menteri Besar Perak baru-baru ini.

"Tindakan juga bukan hanya membabitkan MBI sahaja tetapi daripada semua pihak," katanya.

Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri akan melihat keperluan bagi menyalurkan bantuan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri.

Sementara itu, berkenaan perasmian Projek Light in the City, beliau berkata, ia adalah inisiatif lanjutan daripada program Art In The City oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Think City.

Katanya, projek adalah instalasi seni artis kelahiran Taiping, Perak Liu Cheng Hua yang terpilih menjayakan projek dengan bertajuk 'Pride #3.'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 12:07 PM