Tunku Azizah (dua dari kanan) ketika melawat Muzium Victoria dan Albert di UK semalam. Foto Ihsan FB Istana Negara
Tunku Azizah (dua dari kanan) ketika melawat Muzium Victoria dan Albert di UK semalam. Foto Ihsan FB Istana Negara
BERNAMA

Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melawat Muzium Victoria dan Albert di United Kingdom (UK) semalam.

Dalam lawatan selama dua jam bermula pada 11.30 pagi itu (waktu tempatan), Seri Paduka berkenan menerima sembah taklimat mengenai muzium yang menempatkan khazanah seni dan artifak reka bentuk kreativiti manusia milik Britain berusia 5,000 tahun.

Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook malam tadi memaklumkan turut mengiring baginda ialah isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Nor Aini Abdul Rahman.

Lawatan ke Muzium Victoria dan Albert itu adalah antara atur cara Lawatan Khas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong ke UK selama 10 hari bermula 17 September lalu.

Usai lawatan khas itu, Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula 27 September dan dijadual berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 1:01 AM