Nurul Amal (kanan) mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai di sekitar Pavilion, Kuala Lumpur hari ini. Foto Aswadi Alias
Nurul Amal (kanan) mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai di sekitar Pavilion, Kuala Lumpur hari ini. Foto Aswadi Alias
Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Bagi menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia, Kelab Belia Kreatif Mont Kiara (Kelab Kreatif Malaya) mengedarkan Jalur Gemilang di beberapa lokasi di ibu negara di sini, hari ini.

Program Edar Bendera Keluarga Malaysia berkenaan bermula di LaPark, Jalan Conlay di sini, membabitkan 30 ahli kelab berkenaan.

Pengerusi Kelab Kreatif Malaya Nur Fazilla Rahim berkata, penganjuran program itu bertujuan untuk menaikkan semangat patriotik terutamanya dalam kalangan belia.

"Kami di Kelab Kreatif Malaya sentiasa menjalankan pelbagai aktiviti dari segi bantuan serta program kesedaran yang membabitkan anak-anak muda Malaysia.

"Alhamdulillah, sambutan orang awam juga sangat menggalakkan dan keadaan ketika pengedaran bendera juga terkawal.

"Selain program ini, kami juga menjalankan pelbagai program bantuan seperti kepada gelandangan dan juga bantuan banjir di Yan, Kedah sebelum ini," katanya ketika satu sidang media.

Selain di LaPark, Kelab Kreatif Malaya turut mengedarkan bendera sekitar Lot 10, KLCC, Pavillion dan Jalan Alor di sini.

Turut hadir di program itu adalah Naib Ketua Puteri Umno Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, Ketua Pemuda MCA Pusat Datuk Nicole Wong dan pelakon, Datuk Adi Putra.

Nor Fazilla berkata, melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan tidak mustahil inisiatif seperti itu akan diteruskan pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 9:33 PM