Antara penerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). FOTO DANIAL SAAD
Antara penerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). FOTO DANIAL SAAD
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merekodkan 73 peratus pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara sudah menerima vaksin Covid-19 setakat Rabu lalu.

Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berkata, peratus yang tinggi itu menunjukkan petanda positif bahawa kalangan pelajar IPT memahami kepentingan vaksinasi.

"Kita hendak pastikan kedudukan kampus selamat apabila dibuka dan mereka masuk untuk meneruskan pengajian. Disebabkan itu pihak universiti mewajibkan pelajar untuk vaksinasi.

"Status vaksinasi bagi pelajar IPT seluruh negara adalah 73 peratus, lebih 70 peratus pada saya cukup tinggi.

"Dalam kalangan kakitangan universiti pula sudah mencecah 91 peratus dan ini bermakna vaksinasi meliputi kedua-dua pihak, pelajar dan kakitangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasmi ke UiTM Shah Alam bagi melihat persediaan dan kesiapsiagaan UiTM menerima kemasukan pelajar di kampus UiTM bagi sesi akademik 2021/2022 bulan depan.

Yang turut hadir, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Professor Dr Roziah Mohd Janor.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan ada kakitangan IPT yang menolak untuk divaksin.

"Soal ambil atau tidak ambil vaksin ini tidak perlu diperbesarkan dan setakat ini dalam kalangan pelajar saya tidak pernah dengar lagi (tidak mahu vaksin).

"Pensyarah mungkin ada tetapi minta maaf saya tiada data yang lengkap, mungkin ada sebab vaksin bukan bersifat wajib untuk semua.

"Namun pelajar saya cukup yakin, tiada yang tidak mahu divaksin sebab apabila vaksinasi lebih 18 tahun dibuka, paling ramai golongan orang muda sehingga malam nak buat pendaftaran..itu bermakna mereka cukup tahu vaksin itu penting," katanya.

Mengulas mengenai vaksinasi pelajar UiTM pula katanya, sehingga kini sebanyak 75.6 peratus pelajar UiTM sudah divaksin.

"Pada saya, ini satu perkara cukup baik dan kita masih ada masa lagi, saya menyeru kepada semua pelajar yang belum vaksin, bukan hanya UiTM..yang belum mendapat vaksinasi, terus dapatkan vaksinasi dengan cara paling mudah iaitu membawa kad matrik atau surat tawaran kemasukan sahaja.

"Boleh ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau klinik berdekatan untuk membolehkan mereka mendapat laluan hijau untuk divaksin.

"Kepada semua ibu bapa dan pelajar, guna kesempatan ini. Jangan risau, apabila ada peluang ini anak-anak akan dapat bantuan sebaiknya dari kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 4:12 PM