GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Hanya dua peratus penduduk di Kelantan yang tidak mendapat tarikh janji temu vaksinasi menerusi MySejahtera.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, 98 peratus individu yang berdaftar sudah mendapat tarikh janji temu dengan 80 peratus mendapat vaksin.

Katanya, daerah yang tinggi berdaftar dengan MySejahtera ialah Kota Bharu iaitu 48,380 individu dan 43,091 sudah divaksin iaitu 89 peratus, manakala 4,585 mendapat janji temu serta 804 tidak mendapat janji temu.

"Daerah Pasir Mas, seramai 19,673 orang yang berdaftar dan 16,757 individu atau 85 peratus mendapat vaksin, manakala 339 tidak mendapat tarikh janji temu atau dua peratus. Bachok seramai 11,657 orang berdaftar dan 9,841 atau 84 peratus mendapat vaksin, Pasir Puteh jumlah 11,614 orang berdaftar dan 10,103 atau 87 peratus divaksin.

"Selain itu, daerah yang paling rendah berdaftar adalah Lojing iaitu 34 individu dan 24 sudah divaksin atau 71 peratus serta dua orang lagi mendapat janji temu dan baki lapan orang tidak mendapat tarikh janji temu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut Dr Zaini berkata, kesedaran penduduk di negeri ini untuk mendapat vaksin semakin meningkat.

Katanya, ramai penduduk sedar kepentingan vaksin Covid-19 apabila mereka juga turut mendapatkan vaksin di program outreach vaksinasi.

"Penggunaan vaksin yang dihantar oleh kerajaan juga kita gunakan setiap minggu di antara 95 hingga 98 peratus kerana ramai yang mahu vaksin.

"Namun, kita juga menasihatkan individu yang belum berdaftar untuk mendapatkan vaksin boleh berbuat demikian menerusi MySejahtera atau di program vaksinasi yang kita anjurkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 2:41 PM