FOTO HIASAN AFP
FOTO HIASAN AFP
AFP

Wellington: New Zealand menetapkan sasaran 90 peratus penduduknya divaksin sebelum menamatkan sekatan pergerakan sebagai sebahagian daripada pelan pembukaan semula negara itu walaupun berdepan varian Delta.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern berkata, matlamatnya beralih daripada menghapuskan Covid-19 kepada meminimumkan penularan dalam komuniti dengan meningkatkan program vaksinasi.

Katanya, perubahan itu bermakna penduduk New Zealand tidak lagi dikenakan perintah duduk di rumah dan penutupan perniagaan dengan syarat mereka lengkap divaksin.

"Kita tidak boleh mengarahkan individu yang diberi vaksin untuk tinggal di rumah selama-lamanya," katanya kepada wartawan.

Kira-kira 86 peratus warga New Zealand yang layak sudah menerima dos pertama vaksin, manakala 68 peratus sudah melengkapkan dua dos vaksin.

Ardern mendapat pujian meluas atas tindak balas awal terhadap Covid-19, membabitkan sekatan pergerakan, pengesanan kontak dan sekatan sempadan yang ketat.

Dasar 'Covid Zero' menyaksikan hanya 28 kematian daripada lima juta populasi negara itu dan kehidupan masyarakat tempatan hampir normal untuk jangka masa yang panjang.

Namun, Ardern berkata, langkah itu tidak lagi dapat dilaksanakan dengan kemunculan varian Delta yang sangat mudah tersebar yang mula dikesan di Auckland pada Ogos lalu.

Menurutnya, penularan varian itu kini berada dalam komuniti dan sukar untuk ditangani walaupun mengguna pakai pendekatan kesihatan awam dan sekatan yang ketat.

Ardern berkata, dasar baharu itu akan memberi harapan kepada hampir dua juta penduduk Auckland yang dikenakan sekatan pergerakan selama sembilan minggu.

"Sekiranya anda mahu musim panas, jika anda ingin pergi ke bar dan restoran, dapatkan vaksin.

"Sekiranya anda diberi vaksin, anda akan dapat menikmati perkara yang anda sukai dengan aman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 5:29 PM