Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak memasukkan buku Rahsia Besar ke dalam beg di bilik operasi bajet ketika meninjau persiapan akhir Bajet 2016 di Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan di sini malam ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak memasukkan buku Rahsia Besar ke dalam beg di bilik operasi bajet ketika meninjau persiapan akhir Bajet 2016 di Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan di sini malam ini. - Foto BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa kira-kira sejam meninjau persiapan penyediaan Bajet 2016 di Perbendaharaan, Kompleks Kementerian Kewangan di sini, malam ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di pekarangan kompleks berkenaan pada jam 8 malam disambut pegawai dan petugas kementerian yang terbabit dalam penyediaan bajet berkenaan.

Turut hadir, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Johari Abdul Ghani dan Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Chua Tee Yong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Najib kemudian dibawa meninjau bilik operasi bajet.

Perdana Menteri dijadual membentang Bajet 2016 di Dewan Rakyat, bermula 4 petang esok.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelang pembentangan bajet esok, Najib mengetengahkan pelbagai langkah yang dilaksanakan kerajaan bagi melindungi ekonomi Malaysia dalam persekitaran ekonomi global serba mencabar.

"Tahun ini, kita menumpukan usaha mengukuhkan daya tahan ekonomi negara, mengurus impak kelemahan luaran serta melindungi kesejahteraan rakyat," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 9:35 PM