ABD Jalil pada sidang media di IPD Gombak. FOTO Eizairi Shamsudin
ABD Jalil pada sidang media di IPD Gombak. FOTO Eizairi Shamsudin
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Penularan video dan mesej lucah menerusi aplikasi Telegram yang didakwa membabitkan seorang pendakwah terkenal mengganggu siasatan dijalankan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, tindakan menyebarkan mesej dan video berkenaan melambatkan siasatan dan mengganggu proses melengkapkan kertas siasatan.

"Penularan bahan-bahan berkenaan melambatkan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Walaupun anda mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan, tidak perlulah sebarkan di media sosial, salurkan terus kepada polis supaya kertas siasatan dapat dilengkapkan dengan teliti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya membuka dua kertas siasatan berhubung perkara kes itu iaitu siasatan ke atas pendakwah berkenaan dan siasatan ke atas individu yang menyebarkan video serta mesej lucah itu.

"Polis akan mengenal pasti mereka yang terbabit dalam penyebaran bahan-bahan berkenaan dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

"PDRM ingin menasihatkan orang ramai supaya menghormati siasatan yang sedang dijalankan dan hormatilah undang-undang sedia ada kerana kita tidak mahu kenyataan yang disebarkan mengganggu siasatan kes yang sedang berjalan," katanya.

Sebelum ini, beberapa tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp dan video lucah yang didakwa membabitkan seorang pendakwah terkenal tular menerusi aplikasi Telegram sejak beberapa hari lalu.

Terdahulu, PDRM mengesahkan membuka siasatan berhubung penularan video serta mesej lucah mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Siasatan berhubung perkara itu turut dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 12:57 PM