Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said (kiri), berkata dua kertas siasatan dibuka.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said (kiri), berkata dua kertas siasatan dibuka.
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS membuka dua kertas siasatan berhubung kebakaran sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Saleng dekat Senai, Johor, termasuk mengikut Seksyen 10 Akta Bahan Letupan 1957 kerana menyimpan dan menguruskan bahan-bahan letupan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said berkata, turut dibuka kertas siasatan mengikut laporan kebakaran.

“Dua kertas siasatan dibuka berdasarkan laporan kebakaran dan Seksyen 10 Akta Bahan Letupan 1957 kerana menyimpan dan mengurus bahan-bahan letupan.

“Melihat keadaan kebakaran, kita percaya bahan yang meletup adalah mercun, namun siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat akan diadakan esok selari dengan siasatan polis bagi mengetahui punca kebakaran," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Beliau berkata, kawasan sekitar lokasi kejadian itu akan ditutup bagi siasatan lanjut.

Katanya, pihak polis akan menunggu maklumat lanjut daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk mengetahui status tanah lokasi kilang itu sama ada pertanian atau perindustrian.

“Kita juga menunggu maklumat lanjut daripada Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) bagi mengenal pasti status bangunan kilang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 11:07 PM