Abd Jalil Hassan
Abd Jalil Hassan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Saksi termasuk mangsa berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal diminta tampil untuk membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini beberapa individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Siasatan masih berjalan. Kita minta saksi-saksi yang mempunyai maklumat untuk tampil kepada pihak polis.

"Ini bagi membolehkan pihak polis merakam percakapan dalam siasatan kes berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada Jumaat lalu, polis sekali lagi memanggil Ebit Lew untuk diambil keterangan.

Pendakwah berusia 37 tahun itu hadir bersama isterinya untuk disoal siasat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) JSJ Bukit Aman.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew dipanggil untuk merakam keterangan percakapannya di Bukit Aman pada Ogos lalu.

Siasatan membabitkan Ebit dijalankan mengikut tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, polis mengesahkan sudah membuka satu kertas siasatan berkaitan video dan mesej lucah yang tular di aplikasi Telegram yang didakwa membabitkan seorang pendakwah terkenal.

Siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Kes berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ekoran penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 6:02 PM