Foto hiasan
Foto hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan selepas mengesan penularan klip video dan mesej lucah yang didakwa membabitkan seorang pendakwah terkenal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

Menurutnya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

"Polis menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menyalahgunakan platform itu bagi mendatangkan kegentaran awam.

"Tindakan tegas juga akan diambil kepada individu yang sengaja menggugat ketenteraman awam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Superintendan Junainah M Kasbolah atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Khabir Mohd Afandi di talian 03-22666071.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 7:56 PM