CECAIR ganja seberat 0.20 kg bernilai RM501 dirampas polis susulan penahanan penuntut universiti warga asing menjual cecair ganja dengan cara mengisi ke dalam rokok elektronik (vape) di laman sosial. FOTO Ihsan PDRM
CECAIR ganja seberat 0.20 kg bernilai RM501 dirampas polis susulan penahanan penuntut universiti warga asing menjual cecair ganja dengan cara mengisi ke dalam rokok elektronik (vape) di laman sosial. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kegiatan penuntut universiti warga asing menjual cecair ganja untuk kegunaan dalam rokok elektronik (vape) di laman sosial berakhir apabila ditahan polis, kelmarin

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, bertindak atas maklumat, suspek berusia 29 tahun ditahan di tepi jalan Presint 1, Putrajaya pada 6.35 petang.

Menurutnya, suspek secara tiba-tiba cuba melarikan diri sebaik mahu diperiksa tetapi tindakannya gagal.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek berjaya menjumpai dadah disyaki cecair ganja seberat 0.20 kilogram (kg) bernilai RM501.

"Saringan ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis THC dan lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sahar berkata, siasatan awal mendapati cecair itu digunakan dengan cara mengisinya di dalam katrij vape dan ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakan rapat suspek.

Menurutnya, urusan jual beli dijalankan melalui media sosial di mana cecair itu dipercayai mampu memberi kesan khayal seperti penggunaan ganja.

"Dengan tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warganegara asing yang dikesan aktif selama dua bulan di sekitar Lembah Klang.

"Suspek direman selama 14 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 3:42 PM