KETUA Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar menyoal siasat suspek yang ditahan. FOTO ihsan polis
KETUA Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar menyoal siasat suspek yang ditahan. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Enam lelaki yang leka berjudi disebuah kedai di Cheras terkejut selepas diserbu polis, hari ini.

Serbuan dijalankan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hasil maklumat awam dan risikan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, premis berkenaan baru beroperasi sejak seminggu lalu.

Beliau berkata, premis perjudian itu juga beroperasi 24 jam dan hanya dibuka untuk pelanggan tetap saja.

"Semua lelaki yang ditahan berusia 51 tahun hingga 76 tahun sedang berjudi ketika serbuan dijalankan.

"Polis turut merampas 12 telefon bimbit, tablet (satu), komputer (satu set) dan wang tunai berjumlah RM925," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata, suspek ditahan di lokap Balai Polis Bukit Jalil dan akan dipohon reman esok untuk melengkapkan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 10:43 PM