Anggota bomba menjalankan operasi mencari mangsa lemas di Jeti LKIM Endau, Mersing. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba menjalankan operasi mencari mangsa lemas di Jeti LKIM Endau, Mersing. FOTO IHSAN BOMBA
Omar Ahmad


Mersing: Seorang nelayan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Endau di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Alias Husin berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Al-Shafiq Abdul Rosool, 25 tahun.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 8.30 pagi dan menggerakkan 18 anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Endau, BBP Mersing dan BBP Tebrau.

"Menurut saksi, mangsa terjatuh ke dalam sungai ketika melompat dari jeti ke bot dan terus tenggelam.

"Difahamkan rakan mangsa membuat pencarian sejurus kejadian namun tidak berjaya menemukannya sebelum menghubungi bomba dan polis untuk bantuan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, operasi pencarian mangsa dengan menggunakan teknik mencari di permukaan air dengan bot kira-kira 200 meter ke kuala Sungai Endau dan satu kilometer ke bahagian hulu sungai dilancarkan.

Menurut Mohd Alias, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu oleh nelayan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 4:46 PM