Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid. FOTO BERNAMA
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid. FOTO BERNAMA
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbang dua van jenazah bagi kegunaan masyarakat sekitar Daerah Kuala Muda yang memerlukan bantuan pengurusan jenazah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dua van berkenaan diserahkan kepada Persatuan Veteran Komando Markas 6 Bridged, Kem Sungai Layar dan Masjid Sultan Abdul Halim.

Mahdzir berkata, dua kenderaan terbabit adalah van milik TNB yang tamat tempoh perkhidmatan, namun sudah dibaik pulih dan diperbaiki membabitkan kos RM70,000.

"Kami berterima kasih kepada TNB yang sudi menyumbang van jenazah ini khusus untuk kegunaan Persatuan Veteran Komando Markas 6 Briged dan anak kariah Masjid Sultan Abdul Halim.

"Semoga dengan sumbangan ini akan menjadi asbab kebaikan kepada TNB untuk terus berkembang maju, sekali gus membolehkan lebih banyak program kebajikan seumpama ini dapat dilaksanakan kelak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sumbangan van berkenaan diserahkan Mahdzir kepada Panglima 6 Bridged, Brig Jen Khairul Anuar Abdul Aziz dan Ketua Imam Masjid Sultan Abdul Halim, Che Sa Ahmad pada majlis diadakan di Kem Sungai Layar, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Solusi Bisnes Global TNB, Mohamad Ariff Zainol.

Sementara itu, Mohamad Ariff berkata, TNB menyumbang 60 van jenazah bernilai lebih RM2.7 juta kepada masyarakat sejak 2016.

"Secara purata, kami menerima lebih 80 permohonan setiap tahun daripada pelbagai pihak bagi mendapatkan sumbangan van jenazah.

"Sebelum ini, TNB menyumbang van baharu, namun kerana kos tinggi, kami memutuskan untuk menyumbang van tamat perkhidmatan yang sudah dibaik pulih setiap satunya membabitkan kos RM35,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 5:44 PM