VAN jenazah yang dibawa ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai tanda bantahan, 14 Ferbuari lalu. FOTO Roslin Mat Tahir
VAN jenazah yang dibawa ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai tanda bantahan, 14 Ferbuari lalu. FOTO Roslin Mat Tahir
Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita apabila kenderaan jenazah di negeri itu disalahgunakan selain daripada urusan membawa jenazah.

Baginda bertitah, kenderaan itu tidak boleh digunakan untuk kegunaan lain yang tiada kena mengena dengan urusan pengendalian jenazah atau untuk mengadakan demonstrasi.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata, Baginda turut menitahkan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid dan Kariah di negeri itu bertanggungjawab dan menjaga dengan baik kenderaan jenazah di bawah seliaan mereka.

Beliau berkata, Baginda turut menitahkan kenderaan jenazah itu hanya untuk urusan jenazah saja.

"Baginda tidak berkenan kenderaan jenazah itu disalahgunakan selain daripada urusan membawa jenazah seperti digunakan untuk demonstrasi atau kegunaan lain yang tiada kena mengena dengan urusan pengendalian jenazah.

"Baginda bertitah perbuatan itu hanya melihatkan umat Islam mempersendakan penggunaan kenderaan jenazah yang sepatutnya tidak dilakukan," katanya.

Pada 14 Februari lalu, Pengerusi NGO Malaysia Datuk Seri Jamal Mohd Yunos mengadakan bantahan dengan membawa 16 van jenazah memuatkan keranda di depan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Jamal meminta Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan berhubung dana RM5 juta daripada RM200 juta yang diperuntukkan kepada Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) yang didakwa hilang dan gagal dikesan.

Sehari selepas itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan terdapat unsur manipulasi serta mengambil kesempatan ke atas pembabitan beberapa van jenazah dalam demonstrasi di depan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu.

Pengarahnya Datuk Haris Kasim dilaporkan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati pemilik van berkenaan didakwa sudah dimanipulasi beberapa individu tidak bertanggungjawab.

"Terdapat individu yang mendakwa daripada gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor menghubungi pihak masjid bagi menyewa van berkenaan.

"Menurut individu berkenaan, van itu akan digunakan bagi sesi penggambaran, kempen anti judi, pameran dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab itu yang mengeksploitasi kemudahan masjid bagi tujuan demonstrasi.

"Tindakan ini mencemarkan kemuliaan institusi masjid yang disalahgunakan dengan tujuan tertentu.

"Oleh itu, JAIS memohon kepada ahli jawatankuasa masjid supaya lebih berhati-hati dan menyemak terlebih dulu program sebelum memberi sewaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 1:33 PM