UTHM berjaya memecahkan rekod negara dengan penciptaan sebuah dron gergasi seberat 400kg pertama di Malaysia, baru-baru ini. FOTO IHSAN UTHM
UTHM berjaya memecahkan rekod negara dengan penciptaan sebuah dron gergasi seberat 400kg pertama di Malaysia, baru-baru ini. FOTO IHSAN UTHM
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) menerusi ciptaan dron gergasi seberat 400 kilogram (kg), baru-baru ini.

Ketua projek, Profesor Dr Zamri Omar berkata, inovasi terbaharu dikenali sebagai C-Drone dihasilkan kumpulan penyelidik UTHM dan mampu membawa muatan seberat 200 kilogram (kg).

"Ciptaan dron gergasi berkenaan sekali gus berjaya mencipta rekod dalam MBR bagi kategori 'Beban terberat yang boleh diangkat oleh sesebuah dron.'

"Projek berkenaan memakan masa kurang dua tahun dan turut dibantu sekumpulan pelajar dan penasihat pakar daripada universiti tempatan dan pihak industri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, projek berkenaan dimulakan dengan aktiviti analisis dan reka bentuk, simulasi, fabrikasi komponen, pemasangan, integrasi sistem dan pengujian terbang.

"Kesemua perkara berkenaan dilaksanakan di dalam fasiliti makmal projek C-Drone yang di kampus induk Batu Pahat.

"C-Drone digerakkan oleh kuasa bateri dan ia jenis Multirotor Vertical Takeoff and Landing (VTOL).

"Saiz prototaip dron kargo UTHM berkenaan kira-kira lima meter panjang, lima meter lebar dan dua meter tinggi, manakala beratnya sekitar 400 kg," katanya.

Zamri berkata, projek pembangunan C-Drone itu bertujuan menghasilkan suatu proof of concept (POC) iaitu bagi membuktikan konsep reka bentuk dan sistem dron kargo besar berkenaan boleh dibina dan berupaya beroperasi dengan baik.

"Dana projek C-Drone berkenaan diperoleh daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sebahagian daripadanya dibiayai pihak UTHM sendiri.

"Kejayaan UTHM mencipta dan melaksanakan pengujian awal prototaip C-Drone ini, diharap dapat menjadi motivasi dan membuka ruang bagi universiti serta pihak industri yang berminat bekerjasama mengembangkan potensi dron berkenaan ke arah pengkomersialan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 1:41 PM