SITI Juita Mastura, wanita pertama Malaysia memiliki lesen juruterbang kawalan dron profesional. Foto Ihsan UTHM
SITI Juita Mastura, wanita pertama Malaysia memiliki lesen juruterbang kawalan dron profesional. Foto Ihsan UTHM
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Siti Juita Mastura Mohd Saleh mencatat sejarah menjadi wanita pertama Malaysia memiliki lesen juruterbang kawalan dron profesional.

Siti Juita Mastura, 39, memiliki lesen itu atau 'Remote Pilot License' (RePL) yang diiktiraf oleh Lembaga Keselamatan Penerbangan Awam (CASA), Australia.

Beliau yang juga pensyarah dan penyelidik di Jabatan Kejuruteraan Aeronautik di universiti berkenaan mempunyai kepakaran dalam bidang struktur dan reka bentuk pesawat, khususnya berkaitan struktur komposit.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang berbakti kepada universiti yang menggalakkan kakitangannya untuk terbabit dalam aktiviti komuniti.

"Saya juga berpeluang untuk menyumbang khidmat bakti dan berkongsi ilmu berkaitan dron kepada komuniti setempat mahupun masyarakat Orang Asli menerusi program diatur UTHM," katanya dihubungi hari ini.

Menurut beliau, dia bukan sahaja aktif dalam bidang penyelidikan malah menjadi penggerak kepada pembangunan pensijilan aeroangkasa, khususnya berkaitan program teknologi dron yang kini ditawarkan di UTHM.

"Melalui kerjasama dengan pihak industri, saya diberi geran penyelidikan oleh UTHM untuk membangunkan prototaip pesawat terbang rendah yang dikenali sebagai 'wing-in-ground effect craft'.

"Dengan pemilikan lesen ini, saya berhasrat untuk meneruskan aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk aeroangkasa selaras dengan hasrat negara untuk memperkasa industri aeroangkasa menjelang 2030," katanya.

Menurut beliau, dia juga adalah lembaga pengarah dalam satu syarikat terbitan UTHM, Avitex Solution yang menjalankan aktiviti komersil produk berasaskan dron serta kursus asas pengendalian dron.

"Saya berharap, dengan tertubuhnya syarikat berkenaan, ia akan memberi peluang kepada UTHM untuk terbabit dengan lebih aktif dalam aktiviti konsultansi membabitkan aplikasi dron dalam pelbagai industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 4:25 PM