DR Zamri  (dua dari kanan)  berbincang bersama ahli penyelidik  projek pembangunan dron kargo UTHM.
DR Zamri (dua dari kanan) berbincang bersama ahli penyelidik projek pembangunan dron kargo UTHM.
Izlaily Nurul Ain Hussein


BATU PAHAT: Jika biasanya dron dihasilkan untuk merakam video dari sudut tinggi namun Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bakal mencipta sejarah apabila menghasilkan dron kargo pertama di Malaysia.

Dron kargo dibangunkan ini bertujuan mengangkut atau menghantar barangan dari satu tempat ke tempat lain dan menjadi antara medium baharu sistem pengangkutan dan penghantaran barang selain kapal terbang, kapal serta lori.

Biarpun dipanggil dron kargo, namun peranannya boleh digunakan dalam aplikasi lain seperti penyemburan baja, mencari dan menyelamat, memadam kebakaran atau sebagai dron penumpang.

Apabila dron kargo ini berjaya disiapkan, ia bakal mencipta sejarah kerana ini satu-satunya dron kargo bersaiz besar dengan berat melebihi 400 kilogram (kg) yang pertama seumpamanya dibangunkan di Malaysia.

Ketua Projek Dron Kargo UTHM Dr Zamri Omar berkata, pihaknya terbabit mereka bentuk, membina dan menguji prototaip dron kargo yang besar dinamakan sebagai C-Drone.

“Fungsi C-Drone untuk menghantar barangan kargo dijangka berupaya membawa muatan sehingga 180 kg dan dijangka boleh terbang selama dua jam.

“Namun, C-Drone ini juga berpotensi digunakan dalam pelbagai aplikasi lain seperti sektor pertanian untuk penyemburan baja, mencari dan menyelamat, memadam kebakaran, dron penumpang dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata, projek dron kargo itu dimulakan Jun lalu dan dijangka siap Ogos 2020 membabitkan 45 ahli penyelidik terdiri daripada pensyarah dan penuntut dari bidang kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrik, pengurusan teknologi dan teknologi maklumat.

Katanya, idea asal pembangunan projek ini adalah daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berkait rapat dengan persediaan negara untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Projek ini mendapat pandangan daripada ramai pakar dari pelbagai universiti dan pihak industri, manakala dana projek sekitar RM1 juta dibiayai sepenuhnya KPM,” katanya.

Menurut Dr Zamri, besar harapan mereka untuk melihat projek berkenaan menyuntik kesedaran pelbagai pihak, sekali gus yakin dengan keupayaan membangunkan sendiri teknologi dron.

“Apabila projek ini siap, kita berharap ia dapat menyuntik kesedaran pelbagai pihak termasuk kerajaan, industri dan masyarakat bahawa kita sebenarnya berupaya membangunkan teknologi dron.

“Bagaimanapun, pelbagai pihak perlu berganding bahu dalam menggalak dan mempertingkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam pelbagai bidang berkaitan teknologi dron supaya Malaysia terus maju dan berupaya membangunkan teknologi sendiri, sekali gus kurang bergantung kepada teknologi negara luar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 6:00 AM