MOHAMMED Azman  (kanan) menyerahkan sumbangan faedah PERKESO kepada balu Vijaya Kumaran, T Poongkoathai , 49, (tiga kiri) dan dua anak perempuannya, V Thibaanageswari, 21, (dua kiri) dan V Vishva Rubini, 19, (kiri) sambil diperhatikan Saravanan (dua kanan). FOTO Fariz Iswadi Ismail
MOHAMMED Azman (kanan) menyerahkan sumbangan faedah PERKESO kepada balu Vijaya Kumaran, T Poongkoathai , 49, (tiga kiri) dan dua anak perempuannya, V Thibaanageswari, 21, (dua kiri) dan V Vishva Rubini, 19, (kiri) sambil diperhatikan Saravanan (dua kanan). FOTO Fariz Iswadi Ismail
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang menjalankan kajian menyeluruh berhubung pemberian perlindungan secara percuma kepada kira-kira 2 juta wanita bergelar suri rumah di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, kajian yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dijangka selesai dalam masa terdekat.

Menurutnya, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bagi memastikan perkara itu dapat direalisasikan.

"Kita sedang mengkaji dan mencadangkan supaya dua juta isteri diberi perlindungan secara percuma. Namun ia bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan.

"Isteri yang tidak bekerja perlu dilindungi sekiranya sesuatu terjadi kepada suami yang menjadi 'sole breadwinner' (pencari nafkah)," katanya pada sidang media selepas melawat dan menyampaikan sumbangan Kotak Prihatin kepada keluarga mendiang V Vijaya Kumaran, 52, yang meninggal dunia selepas menderita sakit akibat kemalangan ketika pulang dari tempat kerja, tahun lalu.

Turut hadir Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Komunikasi Izad Raya dan Pengarah Perkeso Kuala Lumpur Mustafa Draman.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, setiap isteri perlu memastikan dan menggalakkan suami mencarum dengan Perkeso bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.

Menurutnya, masih ramai tidak sedar mengenai kepentingan caruman dan manfaat yang diperoleh pekerja serta ahli keluarga sekiranya ditimpa kemalangan.

"Sekiranya kematian suami, isteri boleh mendapat pencen ilat untuk meneruskan kelangsungan hidup. Malah anak yang berusia di bawah 21 tahun juga layak mendapat faedah," katanya.

Katanya, Perkeso juga sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah faedah yang diterima berikutan peningkatan kos sara hidup dan keadaan ekonomi semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 2:58 PM