Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan pada sidang media selepas menyerahkan bantuan Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat kepada tiga beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa di Taman Sentosa, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan pada sidang media selepas menyerahkan bantuan Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat kepada tiga beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa di Taman Sentosa, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Oleh Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my


Klang: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya satu arahan baru dikeluarkan bagi memastikan nasib pengawal keselamatan yang tidak dicarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terbela.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan pekerja yang tidak dicarum Perkeso walaupun terdapat potongan gaji dan sektor kawalan keselamatan antara yang tertinggi.

"Saya beri amaran kepada syarikat kawalan keselamatan, pastikan nasib pengawal keselamatan dibela dengan baik.

"Saya terima banyak aduan, apabila tukar majikan, mereka masih menggunakan khidmat pengawal keselamatan yang sama tetapi tidak dicarum Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Saya tidak akan berkompromi dengan perkara ini dan saya akan berbincang dengan KDN supaya keluar satu arahan baru bagi memastikan mereka (pengawal keselamatan) diberikan jaringan keselamatan," katanya kepada media selepas melawat serta menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat kepada tiga beradik di Taman Sentosa dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah KSM akan mengadakan operasi berkaitan perkara itu, Saravanan memaklumkan tindakan agresif akan dilaksanakan selepas ini.

Terdahulu, Saravanan menyerahkan FPM sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar dan Pencen Penakat bulanan berjumlah RM1,003.20 kepada tiga beradik itu yang akan diterima sehingga mereka mencecah usia 21 tahun atau tamat pengajian di institusi pengajian tinggi.

Tiga beradik berkenaan, S Mahalatchumy, 19, S Muthukumaran, 17, dan S Kastury, 16, kehilangan bapa, K Selvam, 53, akibat serangan jantung pada April lalu manakala ibu mereka, S Chandrakala meninggal dunia akibat Covid-19 pada Ogos lalu.

Berdasarkan semakan caruman Perkeso ke atas pasangan itu, hanya mendiang isteri sahaja yang layak menerima faedah Perkeso mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Sehubungan itu, mendiang Chandrakala yang meninggalkan tiga anak layak mendapat bantuan FPM dan Pencen Penakat.

Sementara itu, Mahalatchumy yang juga penuntut Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam memaklumkan, dia dan dua adiknya kini dijaga oleh nenek mereka yang berusia 73 tahun.

"Perancangan saya sekarang adalah meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Ijazah selain menguruskan dua adik yang masih bersekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 2:42 PM