SITI Salmah membantu suami Abd Salan yang mengalami serangan strok sambil dibantu anak di Bandar Tasik Puteri. FOTO/ FARIZ ISWADI ISMAIL
SITI Salmah membantu suami Abd Salan yang mengalami serangan strok sambil dibantu anak di Bandar Tasik Puteri. FOTO/ FARIZ ISWADI ISMAIL
Oleh Hajar Umira Md Zaki


Rawang: Seorang isteri cekal dan setia menemani suaminya yang kini terlantar sehingga dirinya nekad mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

Siapa sangka, suami yang dahulunya sihat dan cergas tidak lagi mampu menguruskan diri apabila diserang strok (Basal Ganglia Bleed) pada Oktober tahun lalu.

Siti Salmah Hanafi, 46, reda dengan ketentuan Ilahi apabila suaminya Abd Salan Basok, 51, kini tidak lagi berupaya menguruskan diri dan bergantung sepenuhnya kepada dirinya.

Siti Salmah berkata, suaminya pernah bertugas sebagai guru agama berstatus kontrak di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan selama lima tahun sehingga 2019.

Menurutnya, suaminya diserang strok selepas terjatuh di bilik air dan doktor mengesahkan pembuluh darah di kepalanya pecah sehingga terpaksa menjalani pembedahan.

"Akibat peristiwa itu, sehingga kini suami tidak lagi berdaya dan memerlukan bantuan setiap masa. Suami juga hanya bergantung pada susu sahaja buat masa ini, itu pun melalui tiub dipasang di leher suami.

"Pada awalnya, memang agak sukar untuk saya menyesuaikan diri namun selepas hampir setahun lebih menjaga dan menguruskan suami, jadi rutin menguruskan suami sudah terbiasa untuk saya," katanya.

Dianugerahkan lima cahaya mata selama 22 tahun perkahwinan, Siti Salmah berkata, dia bersyukur mempunyai anak yang memahami dan membantunya menjaga kebajikan suami.

Menurutnya, bukan mudah untuk dirinya menjadi ketua keluarga.

"Anak sulung yang menuntut di universiti swasta juga ada menyatakan hasrat mahu berhenti belajar untuk membantu saya namun saya minta dia memberi fokus kepada pelajaran dahulu," katanya.

Dirinya sangat bersyukur kerana bebanan ditanggung diringankan dengan faedah PERKESO menerusi caruman suaminya sejak 1999 yang melayakkan suaminya menerima faedah pencen ilat sebanyak RM2,368.75 sebulan dan beliau menerima Elaun Layanan Sentiasa sebanyak RM500.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada PERKESO. Pada mulanya, saya ingatkan faedah PERKESO ini hanya boleh dituntut oleh pekerja yang terbabit kemalangan sahaja, tetapi apabila saya mengemukakan permohonan, suami sebenarnya layak menerima faedah berkenaan di bawah Skim Keilatan," katanya.

Sementara itu, Pegawai PERKESO Prihatin Rawang, Ezani Izni berkata, apabila menerima kes berkenaan, pihaknya terus menyemak kelayakan orang berinsurans (OB), Abd Salan Basok.

"Melihat tahap kesihatan dan keadaan OB, bantuan perlu disegerakan dan kami merujuk kes beliau ke ibu pejabat bagi mendapatkan penilaian perubatan.

"Hasil penilaian perubatan, beliau layak menerima faedah pencen ilat dan menerima alatan pemulihan seperti lampin pakai buang, susu, kerusi roda dan katil," katanya.

Prihatinnya PERKESO, penilaian perubatan sementara dalaman dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menilai dan membuat keputusan terhadap kes penyakit kronik yang memerlukan bantuan segera.

Menurutnya, langkah prihatin PERKESO itu untuk memastikan bantuan segera dapat diberikan kepada Orang Berinsurans yang layak menerimanya.

Selain faedah dan bantuan pemulihan diberikan katanya, elaun layanan sentiasa turut diberikan kepada isterinya yang menjaga dan menguruskan suami yang tidak berdaya serta disahkan keilatan.

Katanya, Elaun Layanan Sentiasa ini diberikan kepada waris menguruskan Orang Berinsurans yang disahkan menghidap keilatan dan tidak berdaya dengan teruknya hingga sentiasa memerlukan layanan seseorang lain atau waris, seseorang itu layak menerima elaun ini dengan pengesyoran Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Khas atau Jemaah Doktor Rayuan.

"Justeru, kami di PERKESO sentiasa menyarankan majikan dan pekerja yang belum mendaftar dan mencarum segera berbuat demikian demi kesejahteraan waris dan orang tanggungan sekiranya orang berinsurans ditimpa musibah," katanya.

Muat turun Aplikasi PRIHATIN PERKESO melalui App Store/Google Play, hubungi 1 300 22 8000 atau layari laman sesawang PERKESO untuk berkongsi maklumat sebarang insiden di mana PERKESO berkemungkinan membantu atau untuk sebarang perkhidmatan atau maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 7:01 AM