- Foto hiasan
- Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Ahli perniagaan dikenali sebagai Datuk Ken yang dipercayai terbabit dengan kegiatan mempromosikan perjudian dalam talian akan didakwa di Mahkamah Selayang, esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 40 tahun itu akan didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

"Lelaki terbabit akan didakwa tiga pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) ARJT 1953, manakala isterinya juga akan didakwa satu pertuduhan mengikut seksyen serta akta sama.

"Mereka dijangka akan dituduh di mahkamah berkenaan kira-kira jam 9 pagi esok," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kegiatan Datuk Ken yang menjadikan empat rumah di sekitar kawasan Country Homes, Rawang, Selangor, sebagai markas operasi.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dipetik berkata, pihaknya menahan 12 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 17 hingga 40 tahun pada 6 Julai lalu yang dikesan menjalankan aktiviti mempromosikan perjudian dalam talian sejak setahun lalu.

Susulan penahanan 13 individu itu, polis berjaya memberkas suspek utama iaitu Datuk Ken bersama isterinya berusia 41 di sebuah rumah di Rawang pada 11 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 7:22 PM