ROZINA Ahmad bersama suam menceritakan insiden yang membuatkan isterinya pengsan selepas menghidu udara bertoksik. FOTO Farid Noh
ROZINA Ahmad bersama suam menceritakan insiden yang membuatkan isterinya pengsan selepas menghidu udara bertoksik. FOTO Farid Noh
Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my


Johor Bahru: Keluarga yang terjejas dalam insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, Selasa lalu bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik premis yang membuang sisa kimia itu.

Suri rumah, Rozina Ahmad, 46, seorang daripada mangsa yang pengsan dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) berkata, tindakan perundangan itu adalah sebagai pengajaran supaya pemilik premis industri tidak sewenang-wenangnya membuang sisa kimia ke dalam sungai sekali gus membahayakan nyawa orang awam.

Katanya, keluarga yang turut mempunyai kediaman di Taman Dahlia, Pasir Gudang, mengalami trauma dan fobia apatah lagi turut berhadapan pengalaman pencemaran sisa toksik berbahaya Sungai Kim Kim pada 2019.

"Saya sekeluarga tidak menyangka lokasi yang tenteram dan cantik seperti Kampung Baru Sri Aman, Seelong, juga tidak terlepas daripada kerakusan pemilik premis industri yang sesuka hati membuang sisa kimia terjadual berbahaya terus ke dalam sungai.

"Saya dan kakak, Zarina Ahmad, 49, juga terjejas hingga sesak nafas dan pengsan serta dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan, malah sehingga kini masih batuk, sakit tekak dan berasa pahit apabila makan dan minum.

"Oleh itu, saya dan kakak, sedang berbincang bersama keluarga masing-masing bagi mendapatkan nasihat guaman dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik premis. Kami juga mungkin akan melantik peguam selepas mendapatkan nasihat guaman.

"Kami bimbang insiden ini menjejaskan kesihatan atau mengancam nyawa kami apatah lagi, tidak tahu apa kesannya kepada kesihatan kami pada masa akan datang selepas menghirup udara bertoksik dalam jangka masa lama," katanya ketika ditemui, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Selasa itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru, sebelum kesemua mereka dibenarkan kembali ke rumah lewat petang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 4:58 PM