VAKSINATOR Unit Bergerak Vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKD SPT) mengisi picagari dengan vaksin Covid-19. FOTO Danial Saad
VAKSINATOR Unit Bergerak Vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKD SPT) mengisi picagari dengan vaksin Covid-19. FOTO Danial Saad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata perhatian khusus akan diberikan kepada negeri Sabah, Kelantan, Kedah, Johor, Perak, Terengganu dan Pahang di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau berkata ini kerana tujuh negeri berkenaan mempunyai kadar vaksinasi kurang daripada 55 peratus.

Katanya, perkara berkenaan merupakan antara dua keputusan utama yang dibuat dalam mesyuarat Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang dipengerusikan beliau bersama dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

"Melalui pendekatan 'whole of government', CITF akan memberi penekanan kepada peningkatan jumlah program jangkauan di negeri-negeri dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia untuk penggunaan aset yang berkenaan dalam memastikan vaksin Covid-19 dapat disuntik kepada penduduk yang jauh di pedalaman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Adham, 17 organisasi telah diberikan kebenaran bagi melaksanakan pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di bawah PICK, dan CITF menyeru agar negeri-negeri berkenaan berhubung terus dengan organisasi itu yang berpengalaman menjalankan program PPV bergerak.

Dr Adham berkata, inisiatif vaksinasi secara pandu lalu dan jumpa terus akan terus diperhebatkan dan diperluaskan, dan negeri-negeri disaran membuka lebih banyak PPV pandu lalu sekiranya masih terdapat keperluan untuk meningkatkan kapasiti (vaksinisasi) di negeri masing-masing.

Mengenai inisiatif vaksinasi jumpa terus di negeri-negeri, Dr Adham berkata, ia akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan orang ramai boleh membuat semakan berkenaan inisiatif itu dengan Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing.

Katanya, keputusan lain yang dibuat dalam mesyuarat berkenaan ialah supaya sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan vaksin yang diagihkan ke negeri-negeri melalui Jabatan Kesihatan diperuntukkan kepada Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPIN).

"Ini selari dengan perbincangan di Sidang Majlis Keselamatan Negara baru-baru ini untuk memperhebatkan lagi usaha pemvaksinan pekerja warga negara atau bukan warga negara sama ada di PPVIN statik atau secara jangkauan luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 10:50 PM