DEPUTI Superintendan Mohd Haris Ibrahim (kiri) turut berada di lokasi kemalangan. FOTO ihsan PDRM
DEPUTI Superintendan Mohd Haris Ibrahim (kiri) turut berada di lokasi kemalangan. FOTO ihsan PDRM
Juwan Riduan


Penampang: Anggota polis yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas motosikal ditunggangi melanggar belakang sebuah lori di Jalan Kota Kinabalu-Papar, dekat Kem Lok Kawi, Putatan di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.59 malam itu, mangsa Koperal Rozlan Shahruddin Abd Ajik, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa yang bertugas di Balai Polis Putatan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di PPR Kampung Segindai, Kinarut, Papar.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai melanggar dari arah belakang sebuah lori.

"Akibat itu, mangsa parah dan maut di tempat kejadian yang disahkan oleh pegawai perubatan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris yang turut berada di lokasi kejadian berkata, pemergian mangsa adalah satu kehilangan yang besar kepada seluruh keluarga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

"Terima kasih di atas khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang pekhidmatanmu. Seluruh warga IPD Penampang menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Koperal Rozlan," katanya.

Allahyarham Koperal Rozlan belum mendirikan rumah tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 1:48 PM