Khairy Jamaluddin (kanan) berbual bersama Chow Kon Yeow ketika hadir sidang media berkaitan isu semasa kes Covid-19 di Pulau Pinang di Auditorium A, Tingkat 5, Komtar hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Khairy Jamaluddin (kanan) berbual bersama Chow Kon Yeow ketika hadir sidang media berkaitan isu semasa kes Covid-19 di Pulau Pinang di Auditorium A, Tingkat 5, Komtar hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam perancangan menyumbangkan alat pengukur kadar oksigen atau oximeter kepada golongan berisiko di negara ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu adalah susulan peningkatan jumlah pesakit Covid-19 membabitkan golongan muda kategori tiga hingga lima mengalami hipoksia tanpa sebarang gejala.

"Melihat kepada peningkatan itu, kita akan usahakan bagi memberi oximeter kepada golongan berisiko tinggi.

"Kita akan segera laksanakan kiraan bajet bagi pemberian oximeter ini," katanya pada sidang media bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lanjut Khairy berkata, KKM juga menyokong sekiranya ada pihak yang mahu membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) Covid-19 swasta di hotel.

"Kita menyokong jika ada syarikat atau kilang yang mahu biayai PKRC swasta bagi kakitangan atau pekerja mereka yang menjalani kuarantin.

"Dengan cara itu mungkin boleh menyumbang akses kemudahan kepada orang ramai," katanya lagi.

Dalam perkembangan lanjut Khairy berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan hospital swasta bagi meningkatkan kapasiti mereka bukan sahaja untuk pesakit bukan Covid-19 tetapi kepada pesakit Covid-19.

Katanya, pihaknya juga akan meminta tambahan 1,000 katil bagi pesakit Covid-19.

"Kapasiti hospital swasta sudah mencapai 87 peratus sementara unit rawatan rapi (ICU) pula sudah mencapai 117 peratus.

"Justeru, kita minta supaya kapasiti ini dipertingkatkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 4:19 PM