BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) bersiap siaga menghadapi gelombang Omicron berikutan peningkatan kes Covid-19 dengan mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, jawatankuasa khas itu akan melaksanakan tindakan pantas mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan.

"Antaranya tindakan awalan pantas berkenaan adalah menambah dan mengubah suai katil bukan Covid-19, membina hospital medan dan penyumberluaran pesakit ke hospital swasta.

KHAIRY pada sidang media perkembangan Covid-19.
KHAIRY pada sidang media perkembangan Covid-19.

"RRTF ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Asmayani Khalib yang akan membuat pelaporan terus kepada saya," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Selain itu, Khairy berkata, KKM bersiap sedia dengan 120 hospital, sembilan hospital penuh Covid-19 dan 111 hospital hibrid serta 43 Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan kapasiti 10,810 katil setakat semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 6:40 PM